Tuesday, March 10, 2009

Fonem Bahasa Melayu




1.3 FONEM BAHASA MELAYU


1.3.1 Fonem Vokal Bahasa Melayu

Terdapat enam fonem vokal dalam bahasa Melayu, iaitu /a/, /e/, / ә/, /i/, /o/, /u/.

Vokal merupakan bunyi bersuara iaitu ketika dihasilkan udara dari paru-paru keluar berterusan melalui rongga tekak dan rongga mulut tanpa sebarang gangguan. Vokal seperti di bawah boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:

i Vokal hadapan
ii Vokal tengah
iii Vokal belakang
Kedudukan vokal ditunjukkan seperti rajah di bawah

Rajah di atas menunjukkan kedudukan vokal dalam bahasa Melayu

Berdasarkan kepada gambar rajah di atas dapat digambarkan kedudukan lidah mengikut bahagian-bahagiannya. Bahagian di sebelah kiri terdiri daripada bahagian hadapan lidah, bahagian sebelah kanan merupakan bahagian belakang lidah manakala bahagian tengah merupakan bahagian tengah lidah.

Jelas bahawa lidah merupakan alat artikulasi yang berfungsi dalam penghasilan bunyi-bunyi vokal dan dalam pembahagian bunyi-bunyi vokal. Kedudukan tinggi dan rendah lidah semasa menghasilkan bunyi-bunyi vokal ditunjukkan dalam gambar rajah di bawah:



Berdasarkan gambar rajah di atas jelaslah bahawa lidah berfungsi dalam pembahagian jenis-jenis bunyi vokal. Selain itu, kedudukan lidah mempunyai hubungan dengan bunyi vokal yang akan dibunyikan.

Selain itu, bibir juga memainkan peranan yang tersendiri dalam penghasilan bunyi vokal. Menurut Adul Hamid Mahmood (1996) keadaan bibir boleh berbentuk seperti berikut:
• Hampar
• Separuh hampar
• Bundar
• Separuh bundar akan menghasilkan vokal hampar, separuh hampar atau
bundar dan separuh bundar.

Menurut Abdul Hamid Mahmood (1996) keadaan bibir semasa menghasilkan jenis-jenis vokal adalah seperti berikut:


Gambar rajah di atas menunjukkan keadaan kedudukan bibir semasa.



1.3.2 Fonem Konsonan Bahasa Melayu


Terdapat 25 konsonan di dalam bahasa Melayu seperti yang terdapat dalam jadual di bawah.

Konsonan ialah bunyi selain dari bunyi vokal. Konsonan terhasil apabila terdapat gangguan atau halangan oleh alat artikulasi terhadap udara dari peparu. Konsonan terdiri daripada konsonan bersuara dan konsonan tidak bersuara. Konsonan bersuara bermaksud konsonan yang terhasil apabila tekanan udara yang keluar dari peparu menggetarkan pita suara manakala konsonan tidak bersuara adalah konsonan yang terhasil apabila udara dari peparu tidak menggetarkan pita suara.dalam bahasa Melayu konsonan terbahagi kepada 2 iaitu konsonan asli dan konsonan pinjaman. Konsonan asli bahasa melayu merupakan konsonan yang sedia ada dan diguna oleh penutur bahasa melayu tanpa sebarang perlakuan adaptasi oleh penutur. Dalam bahasa Melayu terdapat 9 jenis konsonan iaitu :

- dua konsonan letupan dua bibir bersuara dan tidak bersuara ( p, b ).

- dua konsonan letupan gusi bersuara dan tidak bersuara ( t, d ).

- dua konsonan letupan lelangit lembut bersuara dan tidak bersuara ( k, g ).

- satu konsonan hentian glotis. ( ? )

- dua konsonan letusan bersuara dan tidak bersuara ( c, j )

- dua konsonan geseran tidak bersuara, iaitu geseran gusi tidak bersuara ( s ) dan geseran glotis bersuara ( h ).

- satu konsonan getaran bersuara ( r ).

- satu konsonan sisian bersuara ( I ).

- empat konsonan sengauan bersuara (m, n, ŋ , n )

- dua konsonan separuh vokal bersuara, iaitu ( I ) dan separuh vokal dua bibir bersuara ( w ).

- satu konsonan separuh vokal lelangit keras bersuara ( j ).

Penghasilan konsonan-konsonan tersebut melibatkan daerah-daerah artikulasi seperti dua bibir, gusi, lelangit keras, lelangit lembut, pita suara, glotis dan rongga hidung.




1.3.3 Diftong


Diftong berasal daripada perkataan Inggeris yang menyatakan bahawa dua vokal hadir di dalam konteks sama, yang pertama mengikuti yang kedua. Terdapat tiga diftong di dalam bahasa Melayu, ia itu [ au, oi, ai ]. Sila rujuk rajah di bawah untuk mendapat penjelasan yang lengkap.

Menurut Arbak Othman (1983), diftong adalah rentetan dua vokal yang mengandungi satu puncak kelantangan, yang tatkala menghasilkan tidak ada hentian sebentar atau hiatus yang memisahkan kedua-dua vokal binaannya itu.

Bagi Raminah Hj. Sabran (1985) pula, diftong adalah gabungan dua bunyi vokal yang disebut secara berterusan (dalam satu hembusan) dan di dalam penghasilannya terdapat ciri geluncuran. Ertinya, lidah pada mulanya diletakkan pada keadaan sebagaimana membunyikan sesuatu vokal kemudian digeluncurkan ke arah membunyikan vokal yang lain.

Diftong ialah gabungan dua vokal yang terdapat di dalam satu suku kata, yang disebut secara berterusan tanpa ada segmen. Di dalam penghasilannya, terdapat ciri geluncuran tetapi ada satu puncak. Ada tiga jenis diftong di dalam bahasa Melayu. Cuba anda lihat Rajah 1.8 untuk membantu pemahaman anda tentang diftong.


Rajah1.8: Pergerakan lidah untuk membunyikan Diftong

Yang pertama ialah diftong [ai]. Pada masa ini bahagian depan lidah pada mulanya berada pada kedudukan untuk vokal [a] kemudian bergerak kepada kedudukan untuk vokal [i] tetapi tidak setinggi sebagaimana membunyikan [i]. Contoh, [pakai], [balai], [rambai], [pandai], [haiwan], [hairat],

Yang kedua pula ialah diftong [au]. Pada masa ini depan lidah berada pada kedudukan untuk vokal [a] kemudian bergerak kepada kedudukan untuk vokal [u]; bibir yang mula-mula dihamparkan, kemudian dibundarkan pula. Contoh, [pulau], [kәrbau] [halau], [tauliah] [tauladan], [tauhid]

Diftong yang ketiga ialah diftong [oi]. Semasa dihasilkan, lidah berada pada kedudukan [o] dan kemudian bergerak kepada [i], bibir yang mula-mula bundar tetapi kemudian berkeadaan hampar. Contoh, [amboi]. [kaloi]. [sәpoi]. [sәkoi].

Suatu diftong ditandai dengan menggunakan diakritis [ ^] yang diletakkan di bawah simbol vokal yang kurang lantang dan kurang panjang supaya masing-masing diftong dari contoh-contoh di atas ditandakan begini: [-au^], [-ai^], [ -oi^]

Pengenalan Fonetik dan Fonologi

BAB 1 DEFINISI KAJIAN FONETIK DAN FONOLOGI


1.1 PENGENALAN

Bidang fonologi adalah bidang yang mengkaji salah satu daripada aspek yang terpenting dalam bahasa iaitu bunyi. Bidang ini juga disebut sebagai bidang fonetik namun ia terdapat sedikit perbezaan. Mari kita menelusuri lagi makna fonetik dan fonologi.

1.1.1 Definisi Fonetik

Menurut Raminah Haji Sabran (1984) dalam buku berjudul Kajian Bahasa Untuk Pelatih Maktab Perguruan menyatakan bahawa fonetik kajian tentang fenomena bunyi atau pertuturan manusia sejagat.

Bagi Arbak Othman (1983), fonetik adalah kajian tentang bunyi-bunyi ujar. Sebagai ilmu, fonetik berusaha menemukan kebenaran-kebenaran umum dan memfomulasikan hukum-hukum umum tentang bunyi-bunyi itu dan pengucapannya, manakala sebagai kemahiran, fonetik memakai data deskriptif dasar daripada fonetik ilmiah bagi memberi kemungkinan pengenalan dan pengucapan bunyi-bunyi ujar itu.

Selain itu, fonetik boleh didefinisikan sebagai mempelajari segala bunyi yang diucapkan melalui mulut manusia, baik bunyi manusia, bukan bunyi bahasa, maupun bunyi bunyi marginal, dan memberikan simbol fonetik untuk setiap bunyi, yakni menurut Dr. Lufti Abas (1985).

Menurut ahli linguistik Barat, Kenstowicz dan Kisserberth (1979) “the study of the sounds human beings employ when speaking a language is phonetics”. Penyataan yang dinyatakan dapat kita terjemahkan yang bermaksud “pengkajian tentang bunyi-bunyi oleh manusia yang kita digunakan semasa bertutur ialah fonetik”.

Menurut Inderawati Zahid dan Mardian Shah Omar (2006) dalam buku berjudul Fonetik dan Fonologi menyatakan fonetik ialah kajian mengenai bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia iaitu bunyi yang digunakan sebagai alat komunikasi. Umumnya, ilmu fonetik ini dibahagikan kepada fonetik artikulatori, fonetik auditori dan fonetik akustik

Malahan menurut Nik Safiah Karim dan Wan Malini Ahmad (2006) dalam buku Bahasa Melayu STPM dalam bab 11 bahawa fonetik ialah bidang yang mengkaji bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh kita iaitu manusia dan memberikan lambang kepada bunyi-bunyi tersebut. Fonetik pula terbahagi kepada tiga cabang, organ pertuturan, sifat bunyi bahasa (akuistik) dan pendengaran (auditori).

Setelah membuat penelitian berdasarkan pernyataan dari ahli-ahli linguistik saya dapati bahawa fonologi dan fonetik mempunyai maksud tersendiri. Bagi fonetik pula bermaksud bidang yang mengkaji segala bunyi bahasa yang dihasilkan oleh alat-alat artikulasi manusia dan ia memberi lambang kepada bunyi-bunyi tersebut

Fonetik ialah kajian yang ditinjau daripada segi bahan fizik atau jisim yang mewujudkan bentuk ucapan. Oleh itu, fonetik ialah kajian yang berkaitan dengan organ pertuturan, sifat bunyi bahasa (akuistik), dan pendengaran (auditori).


1.1.2 Definisi Fonologi

Menurut Rahimah Haji Sabran dan Rahim Sham juga, bidang fonologi mengkaji sistem bunyi-bunyi yang tertentu dalam pertuturan, khusus bagi sesuatu bahasa. Ini jelas daripada pendapat Henderson yang menyatakan “ the study of the systematicorganization of selected speech sounds in the spoken form of individual language has variously been called phonology”.

Manakala menurut Dalbor, salah seorang ahli linguistik Barat pula, “ phonology is the study of the function and patterning of speech sounds “ yang bermaksud “fonologi ialah kajian tentang fungsi dan pencorakan dalam bunyi yang bermakna yang diucapkan oleh manusia”.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Universiti terbuka pula, fonologi ialah bidang yang mengkaji sistem bunyi yang bermakna yang diucapkan oleh manusia, yakni satu pernyataan yang begitu umum untuk mendefinisikan fonologi itu sendiri.

Menurut Nik Safiah Karim dan Wan Malini Ahmad (2006) dalam buku Bahasa Melayu STPM bab 11 bahawa fonologi ialah cabang ilmu bahasa yang mengkaji bunyi bahasa sesuatu bahasa dan fungsinya dalam sistem bahasa tersebut. Fonologi terbahagi kepada dua iaitu fonetik dan fonemik

Fonologi dapat didefinisikan sebagai satu bidang yang mengkaji sistem bunyi-bunyi yang tertentu dalam pertuturan khususnya bagi sesuatu bahasa.


Hakcipta ® Pa’din 2009