Saturday, May 09, 2009

PENERAPAN TEORI NAHU TRANSFORMASI

BAB 8 ANALISIS FONEM: PENERAPAN TEORI NAHU TRANSFORMASI


8.1 Pengenalan Nahu Transformasi
Teori Nahu Transformasi Generatif mula diperkenalkan dalam bidang linguistik pada tahun 1957 oleh Noam Chomsky melalui buku beliau yang bertajuk Syntactic Structures. Lapan tahun kemudian terbit pula buku berjudul Aspects of the Theory of Syntax iaitu buku yang telah menghuraikan nahu transformasi dengan eksplisit dan formal.

8.1.1 Definisi Analisis Fonem

Fonem ditakrifkan oleh ahli Fonologi Generatif sebagai seberkas fitur (a bundle of features). Dalam pada itu sesuatu fonem juga dinilai sebagai bentuk abstrak dan konkrit. Bentuk konkrit bagi sesuatu fonem dapat dilihat penghasilannya melalui rongga mulut ketika diujarkan. Bentuk abstrak pula sebagai satu proses psikologi yang terkait dengan keadaan seorang penutur. Kesengajaan, kesedaran dan pemaksaan alat artikulasi bagi menghasilkan bunyi bahasa yang dikehendaki semua ini terkait dengan psikologi penutur. Berdasarkan aliran Struktural, fonem adalah unsur bunyi yang paling kecil dan tidak boleh dipecahkan kepada bahagian yang lebih kecil lagi.
Sesuatu fonem dalam bahasa mana pun terdiri daripada ciri-ciri bunyi yang dikenali sebagai fitur distingtif bunyi bahasa.



8.2 Fungsi Nahu Transformasi
Sebenarnya konsep kewujudan dua peringkat struktur ayat ini diperkenalkan oleh Chomsky. Menurut teori ini, pemusatan terhadap kajian bahasa terletak pada pengetahuan penutur asli yang memungkinkan membentuk serta memahami ayat-ayat. Pengetahuan ini dikenali sebagai kecekapan berbahasa, yang ada pada setiap penutur asli sesuatu bahasa. Kecekapan ini ditafsirkan sebagai mengandungi satu set rumus yang sifatnya eksplisit yang dengannya penutur asli berkemampuan membentuk serta memahami pelbagai ayat dalam bahasanya.
Sebagaimana yang dinyatakan, teori tatabahasa TG mengandaikan adanya dua peringkat struktur ayat iaitu peringkat struktur dalaman dan peringkat struktur permukaan. Pertama, jenis rumus struktur frasa yang menerbitkan ayat-ayat pada peringkat dalaman dan jenis kedua dikenali sebagai rumus transformasi yang berfungsi menukarkan pola atau struktur ayat hingga membawa kepada peringkat permukaan. Teori TG mengandaikan bahawa kedua-dua rumus nahu ini sebahagian daripada unsur kecekapan berbahasa seseorang individu.



8.2.1 Definisi Nahu Transformasi
Menurut Chomsky (1965), nahu terdiri daripada seperangkat (set) rumus untuk menghasilkan ayat yang tidak terhad jumlahnya. Dalam teori standard TG seperti yang terdapat dalam Aspects, nahu dibahagikan kepada tiga komponen, iaitu:
I. sintaksis
II. semantik
III. fonologi