Tuesday, March 10, 2009

Pengenalan Fonetik dan Fonologi

BAB 1 DEFINISI KAJIAN FONETIK DAN FONOLOGI


1.1 PENGENALAN

Bidang fonologi adalah bidang yang mengkaji salah satu daripada aspek yang terpenting dalam bahasa iaitu bunyi. Bidang ini juga disebut sebagai bidang fonetik namun ia terdapat sedikit perbezaan. Mari kita menelusuri lagi makna fonetik dan fonologi.

1.1.1 Definisi Fonetik

Menurut Raminah Haji Sabran (1984) dalam buku berjudul Kajian Bahasa Untuk Pelatih Maktab Perguruan menyatakan bahawa fonetik kajian tentang fenomena bunyi atau pertuturan manusia sejagat.

Bagi Arbak Othman (1983), fonetik adalah kajian tentang bunyi-bunyi ujar. Sebagai ilmu, fonetik berusaha menemukan kebenaran-kebenaran umum dan memfomulasikan hukum-hukum umum tentang bunyi-bunyi itu dan pengucapannya, manakala sebagai kemahiran, fonetik memakai data deskriptif dasar daripada fonetik ilmiah bagi memberi kemungkinan pengenalan dan pengucapan bunyi-bunyi ujar itu.

Selain itu, fonetik boleh didefinisikan sebagai mempelajari segala bunyi yang diucapkan melalui mulut manusia, baik bunyi manusia, bukan bunyi bahasa, maupun bunyi bunyi marginal, dan memberikan simbol fonetik untuk setiap bunyi, yakni menurut Dr. Lufti Abas (1985).

Menurut ahli linguistik Barat, Kenstowicz dan Kisserberth (1979) “the study of the sounds human beings employ when speaking a language is phonetics”. Penyataan yang dinyatakan dapat kita terjemahkan yang bermaksud “pengkajian tentang bunyi-bunyi oleh manusia yang kita digunakan semasa bertutur ialah fonetik”.

Menurut Inderawati Zahid dan Mardian Shah Omar (2006) dalam buku berjudul Fonetik dan Fonologi menyatakan fonetik ialah kajian mengenai bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia iaitu bunyi yang digunakan sebagai alat komunikasi. Umumnya, ilmu fonetik ini dibahagikan kepada fonetik artikulatori, fonetik auditori dan fonetik akustik

Malahan menurut Nik Safiah Karim dan Wan Malini Ahmad (2006) dalam buku Bahasa Melayu STPM dalam bab 11 bahawa fonetik ialah bidang yang mengkaji bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh kita iaitu manusia dan memberikan lambang kepada bunyi-bunyi tersebut. Fonetik pula terbahagi kepada tiga cabang, organ pertuturan, sifat bunyi bahasa (akuistik) dan pendengaran (auditori).

Setelah membuat penelitian berdasarkan pernyataan dari ahli-ahli linguistik saya dapati bahawa fonologi dan fonetik mempunyai maksud tersendiri. Bagi fonetik pula bermaksud bidang yang mengkaji segala bunyi bahasa yang dihasilkan oleh alat-alat artikulasi manusia dan ia memberi lambang kepada bunyi-bunyi tersebut

Fonetik ialah kajian yang ditinjau daripada segi bahan fizik atau jisim yang mewujudkan bentuk ucapan. Oleh itu, fonetik ialah kajian yang berkaitan dengan organ pertuturan, sifat bunyi bahasa (akuistik), dan pendengaran (auditori).


1.1.2 Definisi Fonologi

Menurut Rahimah Haji Sabran dan Rahim Sham juga, bidang fonologi mengkaji sistem bunyi-bunyi yang tertentu dalam pertuturan, khusus bagi sesuatu bahasa. Ini jelas daripada pendapat Henderson yang menyatakan “ the study of the systematicorganization of selected speech sounds in the spoken form of individual language has variously been called phonology”.

Manakala menurut Dalbor, salah seorang ahli linguistik Barat pula, “ phonology is the study of the function and patterning of speech sounds “ yang bermaksud “fonologi ialah kajian tentang fungsi dan pencorakan dalam bunyi yang bermakna yang diucapkan oleh manusia”.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Universiti terbuka pula, fonologi ialah bidang yang mengkaji sistem bunyi yang bermakna yang diucapkan oleh manusia, yakni satu pernyataan yang begitu umum untuk mendefinisikan fonologi itu sendiri.

Menurut Nik Safiah Karim dan Wan Malini Ahmad (2006) dalam buku Bahasa Melayu STPM bab 11 bahawa fonologi ialah cabang ilmu bahasa yang mengkaji bunyi bahasa sesuatu bahasa dan fungsinya dalam sistem bahasa tersebut. Fonologi terbahagi kepada dua iaitu fonetik dan fonemik

Fonologi dapat didefinisikan sebagai satu bidang yang mengkaji sistem bunyi-bunyi yang tertentu dalam pertuturan khususnya bagi sesuatu bahasa.


Hakcipta ® Pa’din 2009


5 comments:

Anonymous said...

trima kasih

Anonymous said...

waah...great..terima kasih:)

Asie said...

nak rujuk bahan sikit.TQ

Anonymous said...

aku tak pahem lerr....cmana ye???bantuin akuuuu

Anonymous said...

alamek Pak din....contohnye kureng jelas pla aku rasa...